OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

"Terima Kasih Sitizoners" – Siti Nurhaliza Tahan Sebak, Terharu Setia Berhujan Demi Konsert Tradisional

"Terima Kasih Sitizoners" – Siti Nurhaliza Tahan Sebak, Terharu Setia Berhujan Demi Konsert Tradisional
← Back to News
Suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bukan sahaja dipenuhi dengan kehebatan alunan muzik tradisional, malah turut diwarnai dengan detik-detik emosi apabila Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza menahan sebak meluahkan rasa terharu atas sokongan luar biasa kira-kira 63,000 penonton yang setia berhujan hingga ke penghujung Konsert Gema Bumantara Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Penyanyi nombor satu negara itu kelihatan tersentuh ketika menyampaikan ucapan penghargaan kepada para peminat, khususnya kelab peminat setia beliau, Sitizoners, yang hadir dari seluruh Malaysia serta seberang laut termasuk Indonesia. “Sedih tu sebab akhirnya impian saya jadi kenyataan untuk mengadakan konsert terbesar, dan anda semua tak akan saya lupakan. Terima kasih Sitizoners, dari seluruh Malaysia..., Terima kasih Sitizoners dari Indonesia. Terima kasih semuanya. "Sebab saya kena berterima kasih, anda semua telah memberikan semangat yang luar biasa kepada saya. terima kasih kerana anda mendengar sehingga akhir Konsert Gema Bumantara. Terima kasih, hanya Allah sahaja yang akan membalasnya,” luahnya penuh penjiwaan di hadapan lautan peminat. Walaupun berdepan dengan cuaca hujan renyai sepanjang malam, Siti menepati janjinya untuk terus mendekati peminat apabila beliau tampil menyampaikan lagu popular Kurik Kundi sambil menaiki beca mengelilingi pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Konsert mega yang mengangkat keindahan warisan seni Nusantara itu turut diwarnai dengan momen nostalgia apabila Siti turut mengundang bersama Ratu Irama Malaysia negara, Noraniza Idris. Paling dinantikan peminat, dua legenda ratu pop tradisi itu akhirnya menyatukan suara dalam paduan lagu Hati Kama sebagai lagu duet yang amat merindukan, menjadi kenyataan selepas lebih 20 tahun. Mengenang kembali sejarah lampau, Noraniza dan Siti turut berkongsi memori manis apabila pernah membuat persembahan bersama menggunakan rebana ubi gergasi di stadium yang sama sewaktu Sukan Komanwel 1998. Konsert mega yang mengangkat keindahan warisan seni Nusantara itu turut diwarnai dengan kemunculan istimewa komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito yang mengiringi persembahan Siti secara langsung di piano menerusi lagu ciptaannya, Pesanan Buat Diri, sebuah karya menyentuh jiwa yang diakui Siti sering membuatkannya berasa sebak setiap kali mempersembahkannya. Deretan lagu malar segar dan repertoir tradisional seperti Kumbang Bunga, Hati Yang Rindu, Rencong, Kesuma, Kaca Dan Permata, serta kemunculan artis jemputan seperti Haziq Rosebi, Lesti Kejora, dan King Nassar terus bergema mantap melengkapkan malam penuh bermakna buat industri seni tanah air.