Magis M.N47IR CIPTA 4: Kemunculan Spontan Siti Nurhaliza, Ziana Zain Bagaikan 'Hadiah' Untuk Peminat
Konsert solo maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir, bertajuk M.N47IR CIPTA 4 yang berlangsung di Unifi Arena malam tadi, bertukar menjadi sebuah naskhah memori yang tidak akan dilupakan apabila menampilkan kemunculan spontan dan persembahan luar biasa dua lumba seni negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.
Kehadiran mengejut dua nama besar industri muzik itu di atas pentas bukan sahaja menggegarkan stadium yang dibanjiri ribuan peminat, malah disifatkan sebagai 'hadiah' paling bermakna buat penonton yang hadir menyaksikan konsert anjuran Icon Entertainment itu.
Kejutan malam tersebut bermula apabila Siti Nurhaliza, yang pada asalnya sekadar hadir sebagai penonton bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, dijemput naik ke pentas secara spontan oleh M. Nasir di pertengahan konsert untuk mendendangkan lagu ikonik Bagaikan Sakti.
Siri magis malam tersebut diteruskan dengan kehadiran Ratu Pop Vokal negara, Ziana Zain, yang bukan sahaja hadir bagi memberikan sokongan, malah turut mencuri perhatian peminat apabila naik ke pentas utama bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahiran M. Nasir yang ke-68.
Suasana di Unifi Arena bertukar gamat dan penuh emosi apabila Ziana, bersama barisan artis jemputan lain seperti Marsha Milan dan Sherry Alhadad, mengiringi M. Nasir untuk acara memotong pulut kuning sambil menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu bersama-sama ribuan penonton.
Kemuncak konsert disudahi dengan sebuah penutup yang cukup dramatik dan bertenaga apabila Ziana Zain mengambil alih pentas utama bersama sang sifu. Dua figura vokal versatil ini memukau audiens menerusi gandingan mantap mendendangkan lagu malar segar, Halaman Asmara.
Vokal bernada tinggi dan penuh penghayatan daripada Ziana, bersatu dengan aura karismatik M. Nasir, berjaya menghidupkan semula nostalgia lagu hit berkenaan, sekali gus meninggalkan impak mendalam yang menggetarkan emosi seluruh peminat yang hadir.
"Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Saya berharap persembahan ini tidak membosankan anda," seloroh M. Nasir di hujung konsert sebelum menutup tirai malam penuh gemilang itu.
Malam berprestij yang sarat dengan untaian lagu ciptaan M. Nasir itu turut diserikan dengan penglibatan bakat muda, apabila kumpulan De Vokalis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut diberi penghormatan untuk membuat persembahan bersama-sama M. Nasir menerusi lagu Andalusia dan Berikan Nurbisa, sekali gus menyuntik variasi harmoni yang memukau audiens.
Selain Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan De Vokalis, konsert mega tersebut turut digegarkan dengan persembahan bertenaga daripada vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, serta penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.
