OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Zamani, Tam Spider, Hazama Gegar Showcase Jiwa Rasa 3 Oktober Ini

Zamani, Tam Spider, Hazama Gegar Showcase Jiwa Rasa 3 Oktober Ini
← Back to News
Barisan penyanyi legenda dan popular tanah air, Zamani Slam, Tam Spider, dan Hazama bakal digabungkan bagi menggegarkan pentas Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober depan. ​Dianjurkan oleh Zara Event Management dengan kerjasama Nizam Laksamana Production, acara amal edisi kelima ini bakal mengambil tempat di Noah Grand Ballroom, Melawati, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam. ​Pengurus dan Penerbit Showcase, Zulremy Daud berkata, pemilihan barisan artis kali ini dibuat berdasarkan kesungguhan dan kesedaran tinggi mereka untuk bersama-sama menjayakan misi bantuan kemanusiaan. ​"Ucapan ribuan terima kasih kepada Tam Spider dan Zamani Slam kerana mereka adalah antara artis yang sentiasa menyatakan kesudian lebih awal untuk turut sama, walaupun kedua-duanya pernah terlibat dalam siri sebelum ini. ​"Kehadiran Hazama, Haiza, Azmani, dan kumpulan UNIC pula akan bertindak sebagai penguat kepada keseluruhan perjalanan persembahan malam itu nanti," katanya dalam satu sidang media, di sini. ​Menurut Zulremy, penjenamaan semula nama siri kali ini kepada 'Jiwa Rasa' dibuat sebagai bentuk penghargaan kepada Nizam Laksamana yang sentiasa cekal dan mudah tersentuh hati melihat kesempitan hidup rakan-rakan industri serta masyarakat sekeliling. Zamani, Tam Spider, Hazama Gegar Showcase Jiwa Rasa 3 Oktober Ini ​Jelasnya, penganjuran showcase ini membawa misi besar untuk menyalurkan sumbangan kepada pusat jagaan kanak-kanak yang menghidap kanser, autisme, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain membantu meringankan beban kewangan serta kesihatan rakan-rakan artis yang sedang bergelut. ​"Tujuan Showcase Jiwa Rasa tidak lain hanyalah untuk melakukan kerja amal yang digandakan dengan elemen hiburan sederhana. Pendekatan kami mudah—dalam hiburan, ada kebaikan," katanya. ​Berkongsi mengenai cabaran, Zulremy mengakui pihak pengurusan masih berhadapan dengan kesukaran untuk meraih penajaan syarikat korporat biarpun rekod kejayaan penganjuran siri 1.0 hingga 4.0 sebelum ini telah terbukti. ​Bagaimanapun, bagi memastikan misi amal ini tetap berjalan, pihak penganjur mengambil pendekatan menjual meja pelbagai peringkat harga yang telah diselaraskan agar lebih mampu milik berbanding siri lalu, mengambil kira situasi ekonomi semasa rakyat Malaysia. ​"Kami sangat berharap agar syarikat-syarikat besar dan golongan korporat sudi tampil menaja atau membeli pakej meja yang disediakan, kerana sebahagian daripada hasil pembelian tersebut akan terus disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan sasar," tambahnya. ​Pakej meja yang ditawarkan adalah Meja Platinum (RM10,000 / 8 kerusi), Meja Gold (RM5,000 / 10 kerusi), dan Meja Silver (RM1,700 / 10 kerusi). ​Tiket dan pakej meja bagi Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) kini sudah mula dijual dan boleh didapati secara dalam talian menerusi platform Ticket2U.