XPDC KPY Bakal Gegar Padang Pekan Kunak 8 Ogos Ini
Kumpulan rock, XPDC KPY, bakal kembali menghangatkan pentas muzik Sabah menerusi Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini, jam 8 malam di Padang Pekan Daerah Kunak.
Penganjuran acara berskala besar itu dijangka menarik ribuan peminat dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat di Pantai Timur Sabah.
Dianjurkan oleh SMH Global dengan sokongan padu Majlis Daerah Kunak, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), konsert ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif menyokong kempen Visit Malaysia 2026.
Wakil SMH Global, Encik Aalan Ahmad berkata, pemilihan Kunak sebagai lokasi konsert bertujuan membawa hiburan berkualiti tinggi yang mampu milik kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman, selain kedudukan geografinya yang strategik di tengah-tengah laluan Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
"Kami tahu ramai peminat tegar XPDC di Pantai Timur Sabah mengeluh sukar menyaksikan konsert disebabkan faktor harga tiket yang tinggi. Oleh itu, kami mengambil inisiatif membawa XPDC terus ke Kunak dengan harga tiket yang sangat mesra poket.
"Melalui penganjuran di padang terbuka, kami dapat meminimumkan kos sewaan dewan dan menawarkan tiket serendah RM40 untuk Rock Zone, RM50 untuk Head Banging Zone, dan tambahan RM100 bagi sesi Meet & Greet," katanya dalam sesi bersama media, di sini, semalam.
Tambah beliau, penganjuran acara yang berlangsung selama dua hari bermula 7 Ogos itu turut menyediakan ruang niaga khas bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan, di samping acara sampingan seperti pertandingan karaoke lagu-lagu XPDC pada hari pertama.
Konsert berkenaan dijadual dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu.
Sementara itu, pemain bass XPDC KPY, Zuar berkata, Sabah sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah perjuangan muzik mereka berikutan sambutan luar biasa yang sering diberikan oleh peminat di Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Ini kali pertama kami akan beraksi di Kunak. Sebelum ini kami hanya pernah mengadakan persembahan di Tawau dan sekadar lalu sahaja di daerah ini. Kami berjanji akan memberikan persembahan penuh bertenaga selama satu jam setengah tanpa henti.
"Kami mahu jadikan malam 8 Ogos nanti sebagai satu detik bersejarah dan kenangan manis yang sukar dilupakan buat semua peminat rock tegar di Kunak," katanya yang turut membayangkan kemungkinan memberi peluang kepada juara pertandingan karaoke hari pertama untuk berduet bersama mereka di atas pentas nanti.
Menerusi konsert ini, XPDC KPY akan dibarisi oleh Ari (vokalis), Jeff (pemain gitar utama), Zuar (bass) dan Amy (pemain dram).
XPDC KPY dijangka membawakan rangkaian lagu malar segar mereka seperti Semangat Yang Hilang, Apa Nak Dikata, Titian Perjalanan, C.I.N.T.A, Hijau Bumi Tuhan dan Selendang Merdeka.
Tiket kini boleh didapati secara dalam talian menerusi platform rasmi di https://ilassotickets.com/eventdetails.aspx?eid=JzW6DSDl7ug.