OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Westlife Umum Konsert Jelajah 'Westlife 25' di Unifi Arena Januari Depan

Westlife Umum Konsert Jelajah 'Westlife 25' di Unifi Arena Januari Depan
← Back to News
Kumpulan pop tersohor dunia, Westlife, memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama bagi memulakan siri jelajah Asia Tenggara mereka menerusi konsert Westlife 25: The Anniversary World Tour yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena pada 14 Januari 2027. Dianjurkan oleh Live Nation Malaysia, konsert itu dibawakan khas bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 perjalanan seni kumpulan berkenaan yang telah mencetak pelbagai rekod kejayaan dalam industri muzik global. Siri jelajah di Kuala Lumpur ini bakal menyaksikan kuartet yang dianggotai oleh Shane, Nicky, Kian dan Mark itu mempersembahkan barisan lagu hits malar segar serta karya terbaharu mereka sepanjang dua dekad setengah bergelar anak seni. Selain Malaysia, siri jelajah Asia Tenggara yang dijadualkan sepanjang bulan Januari 2027 itu turut merangkumi beberapa destinasi lain termasuk Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong. Westlife Umum Konsert Jelajah 'Westlife 25' di Unifi Arena Januari Depan Penganjur dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Westlife yang baru sahaja melancarkan single terbaharu bertajuk "Your Love Amazes Me" pada 8 Mei lepas, bakal memuatkan trek berkenaan dalam album kompilasi terbaharu mereka yang amat dinanti-nantikan, 25 - The Ultimate Collection. Album tersebut turut menampilkan sebuah lagi single istimewa bertajuk "Chariot" sentuhan komposer terkenal Ed Sheeran, di samping 21 seleksi lagu popular yang menaikkan nama mereka seperti "You Raise Me Up", "Uptown Girl" dan "Flying Without Wings". Sepanjang 25 tahun penglibatan mereka, Westlife telah membuktikan status sebagai antara kumpulan pop paling berjaya dalam sejarah dengan merekodkan lebih 3 bilion striman global, meraih 36 album Nombor 1 di peringkat antarabangsa, serta menjual lebih 55 million unit rekod di seluruh dunia. Bagi peminat setia yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket pra-jualan eksklusif bagi pemegang kad Mastercard akan dibuka bermula Isnin, 20 Julai ini dari jam 11:00 pagi hingga 11:59 malam melalui laman web priceless.com/music. Pilihan tiket Mastercard Preferred juga boleh didapati bermula Rabu, 22 Julai dari jam 11:00 pagi. Sementara itu, ahli Live Nation pula boleh mengakses tiket pra-jualan pada Selasa, 21 Julai dari jam 11:00 pagi hingga 11:59 malam dengan mendaftar keahlian secara percuma di livenation.my. Bagi jualan tiket kepada orang awam, ia akan mula dibuka pada Rabu, 22 Julai dari jam 11:00 pagi secara dalam talian menerusi golive-asia.com.