OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Sentuhan Norzizi Zulkifli Satukan Vanidah Imran, Issey Dalam ‘Mak Yong Shakespeare’ Di Pentas DFP

Sentuhan Norzizi Zulkifli Satukan Vanidah Imran, Issey Dalam ‘Mak Yong Shakespeare’ Di Pentas DFP
← Back to News
Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bakal mementaskan sebuah karya rentas budaya yang amat dinantikan, ‘Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation’, yang menyatukan barisan bintang ternama tanah air termasuk pelakon berkaliber Vanidah Imran dan pelawak popular, Issey. Persembahan eksklusif yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 25 Julai 2026 ini, merupakan buah tangan terbaharu daripada pengarah teater tersohor, Norzizi Zulkifli, yang terkenal dengan kelantangan dan kreativitinya mengadun naskah klasik Barat ke dalam acuan seni tradisi tempatan. Pementasan ini menyaksikan pertembungan unik antara teater tradisional Mak Yong yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO dengan teks drama komedi agung karya William Shakespeare yang ditulis sekitar tahun 1592. DFP dalam satu kenyataan berkata, naskah asal The Comedy Of Errors yang diinspirasikan daripada penulis Rome purba, Plautus, akan mengekalkan struktur asas Mak Yong termasuk elemen tarian, muzik, nyanyian, dan improvisasi dialog. Sentuhan Norzizi Zulkifli Satukan Vanidah Imran, Issey Dalam ‘Mak Yong Shakespeare’ Di Pentas DFP Bagaimanapun, ia diberi nafas segar melalui jalan cerita adaptasi dan terjemahan oleh Fasyali Fadzly yang mengetengahkan kisah sebuah keluarga yang terpisah akibat ribut laut, menggunakan konsep kembar seiras dan salah faham identiti yang sarat dengan humor slapstick. Pementasan berprestij ini digerakkan melalui gabungan bahasa Melayu dan Inggeris secara harmoni, sekali gus membuka ruang kepada demografik penonton yang lebih luas, termasuk pelancong antarabangsa dan generasi muda. Selain kemunculan khas Vanidah Imran dan Norzizi sendiri, teater kontemporari yang dinamik ini turut ditunjangi oleh Mhia Farhana Firdaus, Rosdeen Suboh, Asrulfaizal Kamaruzaman, Salsabila Sofian, Shahkimin, Ismadian, JZ Jasli, dan Ain Sufia. Sebelum ini, Norzizi pernah melakar kejayaan menerusi naskah adaptasi Shakespeare lain seperti 'Mak Yong Titis Sakti' (adaptasi A Midsummer Night’s Dream) pada 2009 dan 2018, eksplorasi 'Throne Of Thorns' (The Tempest) pada 2015, serta 'Randai Macbeth' pada 2024. Pementasan kali ini mencerminkan komitmen berterusan DFP sebagai hab budaya yang aktif dalam menyediakan platform untuk memupuk apresiasi seni dan budaya Malaysia, sekali gua memenuhi tanggungjawab sosial korporat dalam memelihara warisan bangsa seiring perubahan zaman. Bagi peminat seni, tiket bagi menyaksikan persembahan pada jam 8.00 malam itu ditawarkan pada harga RM69 (C Reserve), RM99 (B Reserve), RM139 (A Reserve), dan RM169 (Premium), manakala tempat duduk Suite berharga RM199 dan RM249 seorang termasuk jamuan ringan. DFP turut menawarkan potongan Pakej Keluarga sebanyak 20 peratus bagi setiap pembelian enam tiket kategori Premium dan A Reserve. Selain itu, sebuah bengkel Mak Yong khas akan diadakan pada jam 10.00 pagi pada hari persembahan dengan kadar bayaran RM50. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi Box Office DFP di talian 03-23317007 atau menerusi e-mel di boxoffice@dfp.com.my. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi dfp.com.my serta media sosial @dewanfilharmonikpetronas