OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

'Rumah Hati' Jadi Pentas Kolaborasi Sulung Fabio Asher, Nadhif Basalamah

'Rumah Hati' Jadi Pentas Kolaborasi Sulung Fabio Asher, Nadhif Basalamah
← Back to News
Buat julung kalinya, dua penyanyi berbakat besar dari Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah, bakal disatukan di atas satu pentas dalam konsert berskala besar, ‘Rumah Hati’ Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini. Konsert yang dibawakan oleh penganjur Cerita Project & Events Sdn Bhd dengan kerjasama rakan strategik Jiwa Kacau itu akan menemui peminat tempatan di Megastar Arena Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam. Gandingan di bawah tema “Satu Rasa, Dua Cerita” ini bakal menyaksikan coretan emosi manusia seperti cinta, kerinduan, dan penyembuhan diterjemahkan menerusi dua perspektif artistik dan gaya penceritaan yang unik daripada kedua-dua artis tersebut. Fabio Asher melahirkan rasa teruja kerana konsert ini bukan sahaja menandakan kepulangannya ke ibu kota, malah menjadi platform pertama untuknya bekerjasama secara dekat dengan Nadhif. 'Rumah Hati' Jadi Pentas Kolaborasi Sulung Fabio Asher, Nadhif Basalamah "Ini merupakan kali pertama saya dapat berkolaborasi dan berkongsi panggung bersama Nadhif Basalamah. Di Indonesia sendiri, kami sangat jarang bertemu di dalam mana-mana acara, apatah lagi menyanyi bersama. "Jadi, saya sangat teruja dan kami sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk dibawakan khusus buat peminat di Malaysia," katanya dalam satu sidang media secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini. Sementara itu, Nadhif Basalamah menyifatkan peluang kembali ke Kuala Lumpur sebagai satu detik yang sentiasa dinantikan, selain menganggap muzik sebagai jambatan terbaik dalam mempererat hubungan serumpun antara Malaysia dan Indonesia. 'Rumah Hati' Jadi Pentas Kolaborasi Sulung Fabio Asher, Nadhif Basalamah "Peminat di Malaysia sentiasa memberikan tenaga yang luar biasa. Untuk konsert ini, persiapannya agak intensif memandangkan kami berdua mempunyai jadual yang padat, namun kami komited untuk membina keserasian (chemistry) demi memberikan persembahan yang terbaik," jelas Nadhif. Mengulas mengenai pengisian konsert, kedua-dua penyanyi lagu 'galau' (patah hati) popular ini membayangkan bakal menampilkan beberapa gubahan lagu (arrangement) baharu dan persembahan duet kejutan yang masih dirahsiakan. 'Rumah Hati' Jadi Pentas Kolaborasi Sulung Fabio Asher, Nadhif Basalamah Selain untaian lagu berentak perlahan yang menjadi kegemaran ramai, Fabio turut memberi bayangan akan mendendangkan beberapa buah lagu berentak rancak (upbeat) daripada album keduanya untuk memberikan kelainan visual dan audio berbanding konsert-konsertnya sebelum ini. Tiket bagi konsert 'Rumah Hati' Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur sudah mula dijual menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com dengan harga bermula RM98 sehingga RM888 mengikut beberapa kategori zon berdiri bebas (free standing) dan tempat duduk bernombor (numbered seating).