OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

RockHauz Volume 1 Satukan Dua Generasi, Edrie Hashim Puji Semangat Band Muda

RockHauz Volume 1 Satukan Dua Generasi, Edrie Hashim Puji Semangat Band Muda
← Back to News
Semangat Rock N Roll kembali bergema menerusi penganjuran RockHauz Volume 1 yang berlangsung di BE KL, Cheras baru-baru ini, sekali gus berjaya menghimpunkan gabungan pemuzik muda dan nama berpengaruh dalam industri muzik tempatan dalam satu malam yang penuh bertenaga. Acara yang bermula pada jam 8 malam itu bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula budaya persembahan muzik secara langsung, malah menjadi platform penting dalam menyatukan generasi lama dan baharu scene muzik rock tanah air. Gitaris dan komposer, Edrie Hashim yang membuat kemunculan istimewa menerusi segmen khas Edrie Hashim's Experience, meluahkan rasa bangga terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kumpulan-kumpulan muda yang menjayakan acara tersebut. RockHauz Volume 1 Satukan Dua Generasi, Edrie Hashim Puji Semangat Band Muda Beliau menyifatkan perjuangan yang dilalui oleh band-band indie hari ini mempunyai persamaan yang kuat dengan gerakan muzik rock yang pernah berkembang di Malaysia beberapa dekad lalu. "Rock sentiasa lahir daripada semangat anak muda yang mahu mencipta identiti sendiri. Jika dahulu rock muncul sebagai alternatif kepada muzik popular, hari ini generasi baharu pula membawa pendekatan yang berbeza daripada muzik rock arus perdana. Semangatnya masih sama, cuma zamannya berubah. "Sudah tiba masanya band muda ini diangkat dan diberi perhatian. Jika mereka disokong dari sekarang, tidak mustahil mereka akan menjadi legenda pada masa hadapan," katanya selepas acara tersebut. Dalam penampilan khasnya, Edrie memukau penonton dengan membuka set menerusi lagu Last Caress nyanyian asal Misfits, diikuti karya instrumental solo berjudul Terpaling, serta lagu virtuoso Answers oleh Steve Vai, sebelum menutup tirai dengan lagu baharu ciptaannya, Caramel Mocha Latte Rindu. Sementara itu, penganjur RockHauz yang juga vokalis kumpulan BigTones, Ibby menjelaskan bahawa pemilihan barisan pemuzik pada malam tersebut dibuat berdasarkan kriteria yang ketat, terutamanya aspek disiplin dan kecintaan terhadap muzik asal. RockHauz Volume 1 Satukan Dua Generasi, Edrie Hashim Puji Semangat Band Muda "Rock and roll berasal daripada blues, jadi elemen itu penting dalam pemilihan kami. Selain muzik, perkara paling utama ialah sikap rajin dan komitmen tinggi. Semua band yang terlibat bukan sahaja membuat persembahan, malah turut bekerja keras menjayakan acara ini sebagai sebahagian daripada pasukan penganjur," katanya. Menurut Ibby, RockHauz diwujudkan bukan sekadar sebagai ruang untuk membuat persembahan, tetapi berfungsi sebagai hub untuk berkongsi ilmu dan membina komuniti yang mampu berkembang bersama. RockHauz Volume 1 menampilkan barisan artis berbakat seperti Suav, The Alif, BigTones, dan The Rudean. Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan The Alif yang membawakan rangkaian lagu seperti Substansi dan Obsessive Love Disorder, serta BigTones yang menyampaikan lagu tribute Jerangkung Dalam Almari. Melihat kepada kejayaan edisi sulung ini, pihak penganjur berhasrat untuk menjadikan RockHauz sebagai platform berterusan bagi melahirkan lebih banyak peluang kepada bakat baharu serta mengukuhkan ekosistem budaya gig dan persembahan muzik alternatif di Malaysia.