OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

"Peminat Harus Datang Jika Mahu Kami Terus Berkarya" - JoBranko

"Peminat Harus Datang Jika Mahu Kami Terus Berkarya" - JoBranko
← Back to News
Pemain gitar legenda tanah air, JoBranko menegaskan kehadiran serta sokongan padu peminat adalah penting bagi sebuah band untuk terus kekal produktif menghasilkan karya baharu. ​Bercakap bagi pihak Barbarik selepas sesi latihan terakhir konsert Black On White: Cromok-Barbarik, beliau berkata sokongan peminat bukan sekadar tentang jualan tiket, sebaliknya ia menjadi penentu kelangsungan ekosistem muzik tanah air. ​"Peminat harus datang jika mahu kita terus berkarya. Jika orang mahu melihat kami sentiasa aktif menghasilkan material baharu, sokongan di lokasi konsert seperti inilah jawapannya," katanya kepada media di sini, semalam. ​Sidang media dan sesi latihan tersebut diadakan sebagai persiapan akhir menjelang konsert mega Black On White: Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung di IdeaLive Arena, Petaling Jaya pada Sabtu, 27 Jun. ​Mengulas mengenai gandingan julung kali bersama pelopor thrash metal tempatan, Cromok, JoBranko menyifatkan projek ini sebagai satu bentuk evolusi dan eksperimen yang sihat untuk industri. ​"Bila kita bergabung, matlamat utama adalah untuk mencipta sesuatu yang unik dan memberikan momentum yang sentiasa hype dari awal hingga akhir persembahan agar penonton tidak bosan. ​"Malah, Barbarik juga bakal mempersembahkan single terbaharu kami secara langsung pada malam itu nanti," katanya lagi. ​Menurutnya, projek kolaborasi ini bukanlah satu keputusan tangkap muat atau dilakukan secara 'bidan terjun', sebaliknya ia telah mula dirancang dan dibincangkan secara serius bersama pemain gitar Cromok, Karl, sejak tahun 2023 lagi. ​Mengenai persediaan teknikal, JoBranko menjelaskan bahawa konsert kali ini akan menggunakan sistem hybrid yang menggabungkan elemen analog dan digital bagi memastikan kualiti bunyi yang lebih kemas, sistematik. ​Konsert Black On White: Cromok-Barbarik dijangka akan mempertemukan peminat tegar daripada kedua-dua kumpulan tersebut dalam satu acara yang bakal melakar sejarah tersendiri dalam komuniti muzik keras tempatan. Tiket masih boleh didapati di laman web fantopia.io Foto Oleh: Papadin.