OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Noh Salleh 'Cadenza of the Soul' Bersama Orkestra Sentuhan Aubrey Suwito 8 November Ini

Noh Salleh 'Cadenza of the Soul' Bersama Orkestra Sentuhan Aubrey Suwito 8 November Ini
← Back to News
Menandai lipatan sejarah dua dekad perjalanan mujahtan seni muasiknya, penyanyi dan komposer berpengaruh Noh Salleh bakal muncul dalam konsert solo orkestra berskala besar menerusi Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pada 8 November ini. Konsert yang dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena di sini, menyaksikan gandingan sulung vokalis kumpulan Hujan itu bersama pengarah muzik dan komposer veteran, Aubrey Suwito, dalam menyuntik dimensi baharu buat karya-karya ikoniknya. Penganjur bersama, Altus Prohouse dan CK Star Entertainment dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, persembahan berkenaan bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya diyakini menjadi penanda aras baharu bagi evolusi muzik alternatif tempatan. "Menerusi konsert ini, lagu-lagu popular beliau seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam akan diberi nafas baharu menerusi gubahan orkestra eksklusif yang memeluk pelbagai variasi genre daripada rock alternatif, folk, pop, sehinggalah jazz dan bossa nova. "Ia dipimpin terus oleh Aubrey Suwito yang reputasinya tidak perlu dipertikaikan lagi dalam industri muzik tanah air," menurut kenyataan itu. Noh Salleh 'Cadenza of the Soul' Bersama Orkestra Sentuhan Aubrey Suwito 8 November Ini Sementara itu, Aubrey menerusi kenyataan sama meluahkan rasa teruja untuk menjayakan projek agung tersebut bersama Noh yang disifatkannya sebagai antara karyawan genius generasinya. "Saya tidak perlu berfikir dua kali untuk bersetuju. Cadenza of the Soul bakal menjadi sebuah perayaan muzik yang agung dan menghimpunkan emosi para peminat seni tempatan," katanya. Konsert berkenaan merupakan penampilan kedua Noh dalam format orkestra solo, selepas menjayakan persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas tahun lalu. Jualan tiket yang menawarkan pelbagai kategori bermula pada harga RM188 sehingga RM788 akan mula dibuka kepada umum pada 5 Ogos ini, bermula jam 12 tengah hari menerusi platform dalam talian Ticket2u dan Fantopia. Pemegang tiket kategori VVIP dan VIP turut berpeluang menikmati keistimewaan khas termasuk sesi 'Meet & Greet' serta barangan eksklusif konsert.