OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Menjelang Konsert Ungu 3 Dasawarsa, Marsha Teruja Berduet Dengan Ungu

Menjelang Konsert Ungu 3 Dasawarsa, Marsha Teruja Berduet Dengan Ungu
← Back to News
Peluang berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sempena konsert "Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur" menjadi detik bermakna buat penyanyi Marsha Milan apabila impian yang disimpan sekian lama akhirnya menjadi kenyataan. Marsha, yang bakal tampil sebagai artis jemputan khas pada konsert bersempena sambutan tiga dekad perjalanan seni kumpulan itu pada 5 Sept ini di Idea Live Arena, menganggap tawaran berkenaan sebagai satu penghormatan besar buat dirinya. Mengimbau detik menerima pelawaan tersebut, Marsha mengakui tidak menyangka hasrat yang pernah terlintas di fikirannya ketika menyaksikan vokalis Ungu, Pasha, membuat persembahan di sebuah program realiti baru-baru ini bakal menjadi realiti. "Sejujurnya, bila Abang Pasha datang membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, 'Bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Abang Pasha.' "Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira. Rasa macam angan-angan kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan," katanya. Menjelang Konsert Ungu 3 Dasawarsa, Marsha Teruja Berduet Dengan Ungu Mengenai persiapannya, Marsha berkata beliau tetap komited untuk memberikan persembahan terbaik biarpun kini turut memberi tumpuan kepada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). Beliau memberitahu proses pemilihan lagu solo masih dalam perbincangan, manakala lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada kumpulan Ungu memandangkan karya-karya kumpulan itu sangat ikonik dan sarat dengan nostalgia. "Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi, disertai momen-momen ‘sing-along’ yang pasti mengimbau nostalgia," katanya. Sementara itu, konsert anjuran COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu turut bakal menyaksikan Ungu mempersembahkan sebuah lagu baharu buat julung kalinya secara eksklusif untuk peminat di Malaysia. Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy yakin penglibatan Marsha yang mempunyai kekuatan vokal dan penghayatan tinggi bakal memberikan dimensi istimewa serta melengkapkan sambutan 30 tahun kumpulan itu. Menyedari tiket konsert kini hampir habis dijual, Marsha turut menggesa peminat muzik tanah air dan peminat Ungu untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan baki tiket yang masih ada bagi menyaksikan malam bersejarah berkenaan. Tiket boleh didapati di ilassotickets.com dengan harga bermula RM148.