OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Masalah Kesihatan Tidak Menghalang Awie Jayakan 'Wings Sunday Night Live'

Masalah Kesihatan Tidak Menghalang Awie Jayakan 'Wings Sunday Night Live'
← Back to News
Komitmen tinggi terhadap kerjaya dan peminat mengatasi segala-galanya bagi vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, apabila beliau menggagahkan diri menjayakan showcase eksklusif “Wings Sunday Night Live” di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, malam tadi, meskipun sedang berdepan masalah kesihatan serius. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mendedahkan, beliau terpaksa mengetepikan nasihat doktor dan 'keluar' seketika daripada rawatan hospital demi melunaskan tanggungjawabnya pada persembahan itu. Masalah Kesihatan Tidak Menghalang Awie Jayakan 'Wings Sunday Night Live' Penyanyi rock legenda berusia 57 tahun itu berkongsi bahawa beliau kini sedang menderita akibat jangkitan paru-paru kronik yang dialaminya sejak dua bulan lalu, yang disifatkannya sebagai fasa paling teruk pernah dilaluinya. "Saya keluar hospital sebab saya kena kerja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar malam ini. Walaupun baru minggu lepas saya terpaksa ke Terengganu dan Kelantan, sekembalinya dari sana saya sepatutnya masuk semula ke wad. Namun, saya hanya pergi mengambil rawatan nebulizer dan merujuk semula kepada doktor. "Buat masa ini, saya dipantau oleh tiga hingga empat orang doktor dan bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan," katanya ketika ditemui media selepas showcase berkenaan. Mengulas lanjut mengenai risikonya, Awie berkata masalah jangkitan paru-paru yang dialaminya sering datang dan pergi (on and off), malah mengakibatkan beliau mengalami batuk yang teruk termasuk ketika sesi latihan konsert Datuk M. Nasir, baru-baru ini. "Risiko jangkitan paru-paru ini sebenarnya bukan perkara main-main, ada pesakit yang terpaksa ditidurkan. Malah semasa konsert di Singapura baru-baru ini pun keadaan saya sama. Suara saya malam ini pun ada sedikit sengau kerana saluran pernafasan tersumbat. "Doktor sebenarnya tidak membenarkan saya keluar hospital kerana saya masih dalam tempoh rawatan, jadi saya terpaksa ulang-alik untuk mengambil rawatan wap (nap). Namun demi kerja, saya perlu kuat untuk menempuh situasi ini dan bersyukur tugasan malam ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya yang kelihatan lega dapat menghiburkan peminat sepanjang hampir dua jam persembahan. Masalah Kesihatan Tidak Menghalang Awie Jayakan 'Wings Sunday Night Live' Showcase eksklusif anjuran kerjasama strategik antara Awie Entertainment, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, dan RPM Label itu bertujuan mempromosikan album terbaharu Wings, selain menjadi platform memperkenalkan karya-karya baharu mereka kepada peminat setia. Dalam persembahan tersebut, Wings memukau penonton dengan rangkaian lagu daripada album baharu antaranya Dari Tuhan, Entah Kiri Entah Kanan, Tirai Horizon, dan Kalifah Empat. Kumpulan itu turut mendendangkan barisan lagu hit malar segar mereka termasuk Hutan Simpan, Sekeping Kertas Bermaruah, Ingatkan Dia Hukum Karma, Sayap Ilusi, Malam Gelisah, Peronda Jaket Biru, Opera Hidup, Awang Thrasher, Sejati, dan Misteri Mimpi Syakilla. Selepas kejayaan menggegarkan ibu kota, siri jelajah “Wings Sunday Night Live” dijadualkan bakal menemui peminat di selatan tanah air bertempat di Hard Rock Cafe Melaka pada 12 Julai ini.