OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Konsert 3 Dekad Hijjaz di Istana Budaya Oktober Ini, Hadiahkan Album Baharu Buat Peminat

Konsert 3 Dekad Hijjaz di Istana Budaya Oktober Ini, Hadiahkan Album Baharu Buat Peminat
← Back to News
Kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz, bakal mengubati kerinduan para peminat irama ketuhanan menerusi penganjuran Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah yang dijadualkan berlangsung di pentas berprestij Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan. Penganjuran konsert itu merupakan manifestasi penghargaan kumpulan tersebut buat para peminat yang menyokong perjalanan seni mereka selama hampir 30 tahun dalam industri muzik tanah air. Sebagai  'pemanas panggung' menjelang konsert mega berkenaan, Hijjaz turut mengumumkan peluncuran album studio terbaharu mereka yang berjudul "Akhir Bersamamu" bermula 10 Julai lalu di semua platform penstriman digital utama. Anggota Hijjaz, Isman berkata, album studio terbaharu yang diterbitkan di bawah syarikat Inteam Records Sdn. Bhd. ini memuatkan enam buah lagu baharu yang mengekalkan identiti harmoni vokal unik kumpulan itu, namun disuntik dengan susunan muzik yang lebih segar. Konsert 3 Dekad Hijjaz di Istana Budaya Oktober Ini, Hadiahkan Album Baharu Buat Peminat "Penerbitan album 'Akhir Bersamamu' ini adalah satu projek khas yang bukan sahaja menjadi saksi kepada kedewasaan muzikal Hijjaz selepas hampir tiga dekad, malah kami harapkan ia dapat menjadi penawar serta inspirasi buat masyarakat menerusi mesej ketuhanan dan sirah yang disampaikan," katanya pada Majlis Sidang Media Khas di sini baru-baru ini. Istimewanya, kesemua lagu dalam album tersebut mendapat sentuhan magis daripada barisan komposer berpengalaman yang juga merupakan anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman, Munif, Faizal, dan Ariffin Rahim. Konsert 3 Dekad Hijjaz di Istana Budaya Oktober Ini, Hadiahkan Album Baharu Buat Peminat Bagi memastikan mesej dakwah dan kemanusiaan sampai ke lubuk hati pendengar, Hijjaz turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama barisan penulis lirik puitis dan pemenang anugerah negara seperti Datuk Habsah Hassan, Lukhman S, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam, dan Abai Os. Antara trek lagu yang dipertaruhkan dalam album terbaharu ini termasuklah Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding, dan Rufaidah Al-Aslamiyah. Konsert dua malam di Panggung Sari, Istana Budaya itu nanti dijangka bakal mengimbau kembali era kegemilangan nasyid tempatan, tiket jualan ditawarkan bermula pada harga RM150 dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi MyTicketEmpire.