OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Gandingan Tarian Tradisi Dan Moden: 'A Dance Spectacular' Raikan Kepelbagaian Budaya Di DFP

Gandingan Tarian Tradisi Dan Moden: 'A Dance Spectacular' Raikan Kepelbagaian Budaya Di DFP
← Back to News
Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bakal menghimpunkan seni tarian tradisional dan kontemporari menerusi persembahan 'A Dance Spectacular' pada 5 September ini, sebagai usaha berterusan memelihara serta memartabatkan warisan seni budaya tempatan. Pementasan yang dijadualkan bermula jam 8.00 malam itu bakal menampilkan kolaborasi julung kali dua kumpulan tarian terkemuka tanah air, ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre, menerusi rekaan koreografi dinamik yang mencerminkan kepelbagaian sejarah serta identiti Malaysia. DFP dalam satu kenyataan memaklumkan, persembahan berkenaan selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya untuk menyediakan platform kepelbagaian seni bagi semua lapisan masyarakat, sekali gus memelihara khazanah warisan negara. Gandingan Tarian Tradisi Dan Moden: 'A Dance Spectacular' Raikan Kepelbagaian Budaya Di DFP Membuka tirai persembahan, ASK Dance Company akan mempersembahkan 'Pearl of the Orient', sebuah karya tarian Cina yang menelusuri perjalanan tradisi budaya dari China ke Malaya menerusi ragam gerak seni rakyat, ritual masyarakat dan naratif sejarah. Kumpulan yang dianggotai kira-kira 50 penari itu bakal memukau penonton menerusi kepelbagaian struktur tarian ikonik termasuk Spirit of the Fire Horse, Dai Dance, Sword Dance, Tin Mining Dance, Mahjong Dance, serta kemuncak persembahan Tarian Singa dan Chopstick Dance. Sementara itu, separuh masa kedua persembahan akan diserikan oleh Dua Space Dance Theatre menerusi 'Passage Into The Unknown: Earth, Water, Fire, Wind' yang menampilkan 40 penari kontemporari. Karya berkenaan menggabungkan estetika tarian tradisional Cina bersama kebebasan ekspresi gerakan moden, yang diinspirasikan daripada empat elemen tenaga alam bagi menterjemahkan nilai keberanian dan kasih sayang dalam kehidupan seharian. Gandingan Tarian Tradisi Dan Moden: 'A Dance Spectacular' Raikan Kepelbagaian Budaya Di DFP ASK Dance Company yang ditubuhkan oleh Prof. Dr. Joseph Gonzales pada 2011 merupakan penerima pelbagai anugerah seni termasuk di World Championship of Performing Arts dan BOH Cameronian Arts Awards. Dua Space Dance Theatre pula diasaskan pada 1998 oleh Pengarah Artistik Aman Yap dan koreografer Anthony Meh, yang aktif mengintegrasikan elemen tarian etnik Malaysia ke dalam bentuk seni kontemporari. Tiket persembahan dijual pada harga RM69 (C Reserve), RM99 (B Reserve), RM139 (A Reserve), RM169 (Premium), serta RM199 dan RM249 bagi tempat duduk Suite. DFP turut menawarkan diskaun Pakej Keluarga sebanyak 20 peratus bagi pembelian enam tiket kategori Premium dan A Reserve. Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket atau maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi dfp.com.my atau menghubungi Talian Tempahan Tempahan di 03-23317007.