Festival Rock, Rockestra 5.0 Menanti Warga Kota
Warga kota dan peminat tegar muzik rock bakal disajikan dengan satu penganjuran berskala besar apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Festival Rock dan konsert Rockestra 5.0 bermula Jumaat ini.
Program tiga hari itu, yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, merupakan pengisian utama bagi program Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026. Ia bertujuan menghidupkan semula panggung terbuka ikonik berkenaan sebagai wadah komuniti kreatif dan masyarakat menikmati persembahan berkualiti.
Kemuncak festival berkenaan adalah konsert Rockestra 5.0 pada Sabtu (18 Julai), jam 8.30 malam, yang bakal menampilkan kelainan menerusi gabungan unik muzik rock bersama susunan muzik simfoni secara langsung.
Lebih 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur akan bergandingan bersama barisan penyanyi rock terkenal tanah air seperti Muzza, Pasha, Pat Candy, Lan Solo, CDNaz, King Shah (Metalasia) dan Ca-ah, manakala personaliti popular Isma Halil Hamzah bertindak sebagai pengacara.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Festival Rock turut menyajikan pelbagai pengisian interaktif termasuk forum, sesi bual bicara, pameran komuniti, jualan cenderamata serta persembahan artis tempatan yang mengetengahkan sejarah, evolusi dan legasi muzik rock Malaysia.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang melihat sendiri proses di sebalik tabir pembikinan konsert menerusi sesi latihan bunyi (soundcheck) terbuka yang jarang-jarang diadakan sebelum ini.
Usaha DBKL ini bukan sahaja bertujuan memberi hiburan, malah memperkukuh jaringan komuniti kreatif melalui perkongsian ilmu di samping memperkasakan semula nilai sejarah Panggung Anniversari yang pernah melahirkan ramai artis dan kumpulan legenda negara.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan festival tersebut dan masuk adalah percuma.
