OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

DFP Bawa Legasi Alfonso Soliano Bersama MPO 2 September Ini

DFP Bawa Legasi Alfonso Soliano Bersama MPO 2 September Ini
← Back to News
Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) sekali lagi bakal menjadi saksi persembahan gilang-gemilang apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan konsert penghormatan buat tokoh dan perintis seni muzik negara, Alfonso Soliano, pada 2 September ini. Konsert khas yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.00 malam itu diadakan susulan kejayaan persembahan A Tribute to Sharifah Aini pada Jun lalu, sebagai usaha berterusan mengiktiraf sumbangan besar ikon budaya tempatan. Alfonso Soliano, yang dijuluki 'Bapa Muzik Melayu Moden', merupakan perintis dalam arena muzik tanah air yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Orkes Radio Malaya pada tahun 1961. DFP Bawa Legasi Alfonso Soliano Bersama MPO 2 September Ini Beliau turut mencipta sejarah apabila mengubah landskap muzik asli tradisional ke dalam bentuk simfoni menerusi konsert Malam Irama Melayu pada tahun 1959. Konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose berkata, perkembangan muzik Malaysia berakar umbi daripada visi Alfonso yang meletakkan asas kukuh kepada landskap muzik orkestra serta ekosistem muzik klasikal negara. "Dedikasi beliau yang tidak berbelah bagi telah mengubah sebuah aspirasi menjadi gerakan seni yang mampan, sekali gus membuka peluang kepada generasi pemuzik untuk berkembang maju. Langkah MPO ini adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan sewajarnya kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan. DFP Bawa Legasi Alfonso Soliano Bersama MPO 2 September Ini Keistimewaan konsert kali ini turut diseri dengan kemunculan The Solianos, ensembel muzik yang diasaskan oleh Alfonso sendiri dan dianggotai oleh beberapa generasi ahli keluarganya termasuk Isabella Soliano, Don Alfonso Soliano, Condrado Soliano, Tristano Soliano, Eddie Kismilardy, dan Arthur Kam. MPO bersama The Solianos bakal membawakan barisan karya jazz malar segar seperti Ku Kan Kembali, Airmata Berderai, Tunas Kasih, Rindulah Rindu, Renungan Malam, Kasih Sayang, Blues For Bangkok, dan Dawn To Darkness. Kesemua susunan muzik digubah khas untuk MPO oleh nama-nama besar antaranya Dato Johari Salleh, Azhad Sulaiman, Gerard Salonga, Jenny Chin, Leonard Yeap, Luqman Aziz, Ahmad Muriz Che Rose, serta The Solianos. Tiket persembahan dijual pada harga RM249 (C Reserve), RM299 (B Reserve), RM349 (A Reserve), RM399 (Premium), serta RM449 dan RM499 bagi kategori Suite. Tempahan boleh dibuat menerusi talian 03-23317007, e-mel boxoffice@dfp.com.my, atau menerusi laman web rasmi MPO di www.mpo.com.my.