Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf Antara Barisan Artis Konsert Ruang Nyaman Fest November Ini
Penyanyi popular Indonesia Cakra Khan, Sammy Simorangkir dan Idgitaf bakal menggegarkan pentas tempatan menerusi konsert Ruang Nyaman Fest yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena di sini pada 14 Nov ini.
Festival muzik indoor premium dan eksklusif pertama di Malaysia penganjuran Thrive Events itu bakal menghimpunkan enam artis dari Indonesia dan Malaysia dalam satu malam.
Pengasas Ruang Nyaman Haqimi Zamri berkata festival berkenaan diwujudkan sebagai ruang untuk peminat berehat seketika daripada kesibukan harian dan menikmati muzik yang dekat di hati dalam suasana selesa serta kualiti audio yang terkawal.
"Ruang Nyaman Fest bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pengalaman muzik indoor yang premium, selesa dan padat. Kami memilih enam artis yang mempunyai karya dan identiti tersendiri supaya penonton memperoleh pengalaman terbaik dari awal hingga akhir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Cakra Khan, Sammy dan Idgitaf, festival tersebut turut menampilkan penyanyi Kaleb J serta Pusakata yang diterajui bekas vokalis kumpulan Payung Teduh, Mohammad Istiqamah Djamad (Is), di samping bakat tempatan Najmi Niery.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events Hamka Mohd Taufik berkata festival berkenaan menawarkan nilai tinggi kepada peminat kerana membolehkan mereka menyaksikan persembahan enam artis utama menerusi satu tiket.
"Walaupun harga tiket kami mesra peminat, keseluruhan pengalaman yang ditawarkan tetap premium dan eksklusif," katanya.
Penyertaan Cakra Khan pada festival itu turut mencuri tumpuan selepas pelantun lagu Harus Terpisah itu sebelum ini berhasrat untuk berehat daripada membuat persembahan di Malaysia.
Cakra Khan berkata konsep unik festival itu serta peluang berkongsi pentas dengan rakan pemuzik lain mendorongnya untuk kembali bertemu peminat di Malaysia.
"Selepas mengumumkan untuk berehat, saya mahu lebih berhati-hati dalam memilih acara. Namun, konsep Ruang Nyaman Fest dan barisan pemuziknya terlalu menarik untuk saya lepaskan," katanya.
Tiket bagi Ruang Nyaman Fest ditawarkan bermula pada harga RM249 hingga RM1,699 (kategori pasangan) dan boleh didapati menerusi platform MyTicketEmpire.