OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

Butterfingers Umum Hari ke-2 Konsert 30 Tahun 1.2 Mg, Segment Akustik Istimewa

Butterfingers Umum Hari ke-2 Konsert 30 Tahun 1.2 Mg, Segment Akustik Istimewa
← Back to News
Kumpulan rock alternatif, Butterfingers, hari ini mengumumkan penambahan hari kedua bagi konsert ulang tahun ke-30 album sulung mereka, 1.2 Milligrams, yang bakal berlangsung di Odeon KL Event Hall pada Ogos ini. Penambahan persembahan pada Ahad, 9 Ogos 2026 itu dibuat bagi memenuhi permintaan luar biasa daripada peminat, selain menampilkan format dan pengisian yang berbeza berbanding persembahan malam pertama pada Sabtu, 8 Ogos 2026. Pemain gitar utamanya, Loque, atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata, keputusan memilih lokasi seperti Odeon KL yang terletak berhampiran Kompleks Pertama, hub tumpuan peminat rock era 90-an adalah untuk menghidupkan semula dinamika dan kehangatan atmosfera 'gig' zaman awal penglibatan mereka. Butterfingers Umum Hari ke-2 Konsert 30 Tahun 1.2 Mg, Segment Akustik Istimewa "Kami mahu konsep yang kecil, intim dan personal. Album pertama ini adalah tentang kembali ke akar umbi kami. Kami mahu ada intimasi bersama peminat lama yang sudah berumur dan juga pengikut baharu, supaya mereka dapat merasai sendiri bagaimana suasana kami bermain gig di awal kemunculan sekitar tahun 1996," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Mengulas mengenai perbezaan antara kedua-dua hari persembahan tersebut, vokalis utamanya, Emmett atau Emmett Roslan mendedahkan bahawa konsert hari kedua sengaja diadakan pada waktu petang bagi memberi keselesaan kepada pengikut tegar mereka yang kini rata-ratanya sudah berkeluarga. Butterfingers Umum Hari ke-2 Konsert 30 Tahun 1.2 Mg, Segment Akustik Istimewa "Sebab showcase hari pertama bermula jam 8.30 malam dan memerlukan kita bekerja lebih, jadi hari kedua kita main waktu siang pula untuk pengikut kami yang dah berumur, jadi mereka boleh datang siang. "Kesamaannya, kami tetap akan mainkan keseluruhan album 1.2 Milligrams. Bagaimanapun, untuk hari kedua, kapasiti penonton dihadkan kepada kira-kira 950 orang sahaja kerana semua kategori adalah tiket duduk, berbanding hari pertama yang memuatkan 1,500 penonton untuk kategori berdiri. Malah, hari kedua juga akan diserikan dengan segmen akustik khas," jelas Emmett. Selain daripada seleksi lagu wajib daripada album debut berkenaan, Butterfingers turut menjanjikan kejutan dengan mempertaruhkan beberapa untaian lagu daripada rakaman demo lama yang tidak pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini. Menariknya, Loque turut berkongsi rancangan kumpulan itu untuk melancarkan semula koleksi demo tersebut dalam bentuk fizikal atau digital sebelum meluncurkan versi 'Remastered' bagi album 1.2 Milligrams. Butterfingers Umum Hari ke-2 Konsert 30 Tahun 1.2 Mg, Segment Akustik Istimewa Malah, mereka sedang menilai sama ada mahu merakam semula lagu-lagu demo lama berkenaan termasuk lagu 'Suddenly' versi asal yang membawa genre punk rock sebelum ia diubah suai ke genre berentak lain dalam album Malayneum (2001). "Zaman sekarang semua orang suka benda yang kemas dan diproses menggunakan kecerdasan buatan (AI). Tetapi bagi kami, projek demo ini adalah sesuatu yang paling 'kotor' dan 'raw' daripada segi kualiti bunyi rakaman asal. "Namun, itulah perjalanan sebenar sebuah band, setapak demi setapak untuk sampai ke tahap hari ini, dan kami mahu berkongsi keaslian itu dengan peminat," tambah Loque lagi. Harga tiket bagi menyaksikan persembahan bersejarah ini dijual bermula RM209 dan boleh didapati secara dalam talian dengan melayari laman web rasmi di https://butterfingers12mg30.com/session2.