OnStage by MDAILY.
← Back to News
Concert News

AKB48 Terajui Konsert Utama Sempena Japan Expo Malaysia 2026

AKB48 Terajui Konsert Utama Sempena Japan Expo Malaysia 2026
← Back to News
​Kumpulan idola terkemuka Jepun, AKB48, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert eksklusif sempena Japan Expo Malaysia 2026 (JEMY 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok. ​Kemunculan semula itu menandakan persembahan pertama AKB48 di negara ini selepas dua tahun sejak konsert terakhir mereka di Kuala Lumpur pada 2024, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan aksi bertenaga secara langsung daripada antara ikon pop Jepun paling berpengaruh. ​Istimewa buat peminat di Malaysia, AKB48 dijadual mempersembahkan secara khusus single terbaharu mereka berjudul「好きish」 (Sukisshu), sebelum lagu berkenaan dilancarkan secara rasmi di Jepun pada 19 Ogos depan. ​Menurut Ketua Kumpulan AKB48, Narumi Kuranoo, setiap ahli komited memberikan persembahan terbaik menerusi komunikasi berterusan dan persediaan rapi bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap tertinggi. AKB48 Terajui Konsert Utama Sempena Japan Expo Malaysia 2026 ​"Komunikasi dan persefahaman sesama ahli serta tenaga pengajar adalah keutamaan kami. Walaupun latihan kadangkala mencabar, kami sentiasa berbincang untuk membawakan susunan koreografi dan persembahan lagu yang mampu memberi impak terbaik kepada penonton," katanya. ​Selain single terbaharu, AKB48 turut bakal membawakan barisan lagu berunsur musim panas yang penuh bertenaga, termasuk lagu klasik kegemaran ramai seperti Jigsaw Puzzle 48 yang diyakini mampu menyentuh emosi serta mengajak peminat menyanyi bersama. ​Ketua kumpulan itu turut meluahkan rasa gembira terhadap sokongan luar biasa peminat yang menyaksikan video muzik lagu terbaharu Sukisshu mencecah empat juta tontonan dalam tempoh singkat seawal 10 hari pelancarannya. ​"Angka itu sangat bermakna buat kami, terutamanya selepas menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan. Perhatian dan tenaga positif daripada peminat menjadi pembakar semangat untuk kami terus melangkah ke hadapan," tambahnya. ​Ditubuhkan pada 2005, AKB48 melakar sejarah menerusi konsep revolusioner "idola yang boleh ditemui" (idols you can meet) dan menjadi inspirasi kepada penubuhan pelbagai kumpulan saudara di Asia Tenggara, termasuk kumpulan tempatan KLP48 di Malaysia. ​Persembahan eksklusif AKB48 yang bakal berlangsung pada jam 6 petang esok di Dewan 6 KLCC merupakan sebahagian daripada pengisian utama JEMY 2026, yang diadakan bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. ​JEMY 2026 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Julai, menampilkan pelbagai tarikan budaya, kulinari, pelancongan, dan hiburan Jepun dengan kemasukan adalah percuma bagi ekspo umum.